SUJUD DALAM SOLAT

 

Adakah sah sujud dalam solat tetapi tidak kena hidung?

Jawapan:

Pengertian sujud pada syarak ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan tempat sujudnya.

Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak sah solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam al-Quran, hadis dan ianya juga adalah ijmak para ulama. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-Haj, ayat:77)

Syarat Sujud

Antara syarat sah sujud adalah menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah serta melakukan sujud dengan enam anggota badan yang lain iaitu dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. Hal ini berdasarkan hadis, sabda Nabi :

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”

(Hadis Riwayat Bukhari (812) & Muslim (490))

Bagaimanapun tidak wajib mendedahkan semua anggota tersebut kecuali dahi dan tapak tangan. Imam al-Nawawi r.a menyebut di dalam syarahnya: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab           Syafie, Malik dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, “Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadis menyebutkan tujuh anggota tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan. Maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Sujud merupakan rukun ketujuh daripada 13 rukun solat. Menurut Kitab Fiqh Solat syarat-syarat sujud terbahagi kepada 9 syarat iaitu:

  1. Dua kali sujud pada setiap rakaat.
  2. Menyahajakan sujud.
  3. Menghantarkan tujuh anggota iaitu dahi, dua lutut, dua tapak tangan dan sebahagian daripada perut jari kedua-dua kaki kepada tempat sujud.
  4. Dahi dan tapak tangan terbuka tanpa berlapik dan tetap pada tempat sujud.
  5. Memberatkan kepala pada tempat sujud, andainya ada kapas di bawahnya maka wajib ditekan dahi atasnya hingga berbekas.
  6. Meninggikan punggung daripada kepala.
  7. Tidak sujud seseorang atas sesuatu yang ditanggungnya yang bergerak ia dengan geraknya seperti hujung serban tetapi tidak mengapa jika yang ditanggungnya itu tidak bergerak dengan geraknya seperti dia sujud atas kainnya yang labuh.
  8. Tidak ada berlapik atas sekalian dahi dan tapak tangan oleh umpama pembalut kecuali jika ada pembalut itu kerana luka yang amat sukar menanggalkannya maka tidak mengapa.
  9. Tomakninah dalam sujud.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan para ulama mengatakan bahawa antara yang wajib dalam anggota sujud adalah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com