SOLAT TAHIYYATUL MASJID KETIKA KHUTBAH JUMAAT

 

Apakah hukum Solat Sunat Tahiyyatul Masjid ketika khatib membaca khutbah Jumaat?

 

Jawapan:

Dalam konteks solat sunat pada hari Jumaat, terdapat dua jenis solat sunat. Pertama ialah Solat Tahiyyatul Masjid dan kedua ialah Solat Sunat Mutlak. Bagi orang yang datang awal ke masjid, sunat bagi mereka untuk mendirikan solat Tahiyyatul Masjid dan memperbanyakkan Solat Sunat Mutlak. Hukum makruh tahrim solat sunat hanya ketika matahari berada tegak di atas kepala iaitu pada waktu tengahari.

Solat Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadis yang maksudnya:

 Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolat sebanyak dua rakaat.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Tahiyyatul Masjid terhasil dengan sendirinya apabila melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Tujuannya ialah supaya seseorang itu tidak terus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu kerana menghormati masjid.

Solat ini tidak gugur hukumnya sekiranya seseorang itu masuk dalam masjid dan berdiri sekalipun dalam masa yang lama. Fakta ini ada disebutkan dalam Kitab Sabilu al-Muhtadin karangan Syeikh Arsyad al-Banjari. Kata beliau:

“Demikian lagi tiada gugur sunatnya dengan berdiri dan jika lama masanya sekalipun.”

Pada hari Jumaat, jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sedangkan imam sudah naik ke mimbar atau sudah berkhutbah, sunat baginya untuk melakukan Tahiyyatul Masjid tetapi wajib meringkaskannya.

Imam al-Ghazali berkata, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunat. Oleh itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”

          Makruh hukumnya meninggalkan solat sunat ini kerana Nabi bersabda bermaksud, “Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”

Apabila dia terus duduk maka solat sunat dua rakaat tersebut terluput dan tidak sah jika dia melakukannya semula. Malah dia hendaklah terus duduk mendengar khutbah sehingga Solat Jumaat didirikan. Rujuk Fiqh al-Manhaji.

Tetapi jika ia masuk ke masjid di akhir khutbah dan menduga bahawa bila dia melakukan Solat Tahiyyatul Masjid, dia tidak dapat mengikuti imam dalam takbir pembukaan (takbiratul ihram), maka janganlah ia menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com