MASBUK BANGUN SELEPAS SALAM PERTAMA IMAM

 

Apakah hukum makmum masbuk bangun selepas salam pertama imam, bukan salam kedua?

 

Jawapan:

Dari sudut bahasa, kalimah al-masbuk merupakan isim maf’ul. Fi’il (perbuatannya) adalah sabaqa. Maka disebut sabaqahu iaitu apabila seseorang itu mendahului orang yang lain.

          Manakala dari sudut istilah, masbuk adalah seseorang yang mana imam telah mendahuluinya dalam beberapa rukun atau rakaat solat. Rujuk       al-Qamus al-Muhith, Fairuz Abadi.

          Seperti yang dimaklumi oleh umum, solat merupakan sebuah ibadah yang mempunyai permulaan dan juga penyudahannya. Solat dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Majoriti ulama berpendapat bahawa permulaan solat adalah dengan lafaz takbir dan juga niat masuk ke dalam solat, manakala penamat solat juga melalui lafaz dan niat keluar dari solat.

          Penamat bagi solat adalah lafaz salam sebanyak dua kali dan ini merupakan petunjuk dari Nabi berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ma’mar beliau berkata:

أَنَّ أَمِيرًا كَانَ بِمَكَّةَ يُسَلِّمُ تَسْلِيمَتَيْنِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ أَنَّى عَلِقَهَا قَالَ الْحَكَمُ فِي حَدِيثِهِ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَفْعَلُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang Amir (Gabenor) di Mekah memberi salam sebanyak dua kali (untuk selesai dari mendirikan solat).’’ Lalu Abdullah (bin Mas’ud) bertanya: Daripada manakah dia mendapat sunnah ini?’’ Maka al-Hakam berkata: Sesungguhnya Rasulullah melakukan hal tersebut.”

(Hadis Riwayat Muslim)

          Apa yang lebih utama bagi makmum masbuk ialah bangun menambah rakaat selepas salam kedua, ini kerana salam kedua juga termasuk dari pekerjaan solat.

Namun, makmum masbuk boleh menambah rakaat selepas salam pertama imam. Hal ini ada dinyatakan dalam Kitab Fathu Aziz Bi Syarhi al-Wajiz, juzuk 4, muka surat 427, yang bermaksud:

 “Ketahuilah bahawa sunat makmum berdiri selepas dua salam imam kerana salam kedua itu daripada solat walaupun ia tidak diwajibkan. Namun, harus dia bangun selepas salam pertama.”

Di dalam Kitab Hasyiah Bujairimi Ala Khatib, juzuk 2, ayat 161, menyebut:

 “Disunatkan bahawa tidak berdiri makmum masbuk melainkan selepas dua salam imamnya. Namun harus dia bangun selepas salam pertama.”

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com