HARTA ANAK YANG TIDAK PERNAH BERJUMPA

 

Hukum faraid kalau ayah mati meninggalkan dua cucu lelaki dari anak lelaki tetapi tidak pernah berjumpa, berapa bahagian mereka?

Jawapan:

          Faraid menurut syarak ialah bahagian yang ditetapkan oleh syarak kepada pewaris. Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 7:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat. Orang-orang perempuan juga ada bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat, sama ada sedikit ataupun banyak daripada harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian yang telah ditetapkan (oleh Allah).”

Ayat ini menjelaskan pensyariatan pusaka dan sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir dan terkeluar daripada Islam.

          Terdapat beberapa syarat dalam pusaka yang mesti dipenuhi iaitu kematian si mati telah disahkan atau dianggap mati. Kedua ialah waris disahkan hidup ketika kematian si mati walaupun hanya sedetik. Ketiga ialah hubungan waris dengan si mati diketahui sama ada melalui hubungan kekeluargaan, pernikahan atau wala’. Keempat ialah hubungan yang melayakkan waris mewarisi harta. Syarat keempat ini dilaksanakan oleh hakim.

          Oleh itu, jika cucu lelaki dari anak lelaki tersebut disahkan sememangnya cucu si mati walaupun tidak pernah berjumpa, maka cucu lelaki tersebut mendapat bahagian dari harta pusaka mengikut faraid. Hal ini kerana cucu lelaki kepada anak lelaki adalah tergolong dalam golongan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui hubungan keturunan, perkahwinan atau wala’.

Cucu lelaki tersebut juga adalah daripada ahli waris asabah iaitu waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka sama ada melalui al-Quran atau   al-Sunnah. Justeru, bahagian cucu tersebut dalam pembahagian harta pusaka adalah asabah yang bermaksud orang yang mengambil kesemua harta sekiranya dia pewaris tunggal atau mengambil baki yang ditinggalkan oleh pewaris melalui fard (iaitu pewaris yang ditetapkan bahagiannya dalam            al-Quran atau al-Sunnah). Sekiranya dia bukan pewaris tunggal, dia tidak akan menerima sebarang pusaka jika tiada lagi baki setelah kesemua pusaka dibahagikan kepada pewaris melalui fard.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com