ANGKAT TANGAN DAN KATA “AMIN” KETIKA DOA KHUTBAH

 

Mohon penjelasan tentang doa akhir khutbah, adakah perlu angkat tangan dan kata “amin” atau tidak?

Jawapan:

          Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, doa bererti permintaan atau permohonan kepada Tuhan. Dari segi Bahasa Arab perkataan doa bererti panggilan atau meminta pertolongan. Manakala dari segi istilah pula ia lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba kepada Allah S.W.T untuk menunaikan hajatnya. Allah S.W.T telah berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنّي فَإِنّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

(Surah al-Baqarah, ayat:186)

Firman Allah S.W.T lagi dalam al-Quran:

وَقَالَ رَبُّكُـم ٱدْعُونِى أَسْتَجِب لَكُمْ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دٰخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir, ayat:60)

Sunat hukumnya makmum mengucapkan “amin” ketika khatib membaca doa dalam khutbah Jumaat yang kedua. Dalam hadis Habib bin Masalamah r.a disebutkan:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ:  لاَ يَجْتَمِعُ قَوْمٌ مُسْلِمُوْنَ يَدْعُوْ بَعْضُهُمْ وَيُؤَمِّنُ بَعْضُهُمْ إِلاَّ اسْتَجَابَ اللهُ دُعَاءَهُمْ                              

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Tiadalah berhimpun satu kaum Muslimin berdoa sebahagian dari mereka itu dan mengucap amin oleh sebahagian yang lain melainkan memperkenankan oleh Allah S.W.T akan doa mereka.”

(Hadis Riwayat at-Thabarani & al-Hakim)

Begitu juga sunat bagi makmum mengangkat tangan ketika doa khutbah Jumaat. Ini disebutkan oleh para ulama dalam mazhab Syafie.

Sila rujuk kepada Kitab Asna al-Matalib dan Hidayat al-Sibyan dalam semua perkara di atas.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com