DOA MAZLUM YANG TIDAK SOLAT

 

Apakah status mustajab doa orang kena zalim tapi dia sendiri tidak solat?

 

Jawapan:

Solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita laksanakan. Ia adalah tiang agama yang telah difardhukan ke atas orang Islam yang mukallaf. Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah S.W.T serta Allah S.W.T akan mengabulkan semua doa hambaNya yang bertakwa. Cepat atau lambat keinginan itu pasti akan terkabul.  Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Mukmin, ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِب لَكُمْ

 Maksudnya: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan permohonan itu.”

Orang yang dizalimi akan mendapat limpahan pahala dari orang yang menzaliminya. Apabila pahalanya tidak mencukupi, maka dosa-dosa orang yang dizalimi akan diambil pula oleh orang yang menzalimi. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ada tiga golongan manusia yang doa mereka tidak akan ditolak: Orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Allah S.W.T akan mengangkat doanya sampai di atas awan dan dibukakan pintu-pintu langit untuknya.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Hadis daripada Anas r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah S.W.T.”

Allah S.W.T berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 148:

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكانَ اللَّهُ سَميعًا عَليمًا

 Maksudnya: “Allah S.W.T tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi. Maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut dan Allah S.W.T itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”

Imam Nawawi r.a telah meletakkan satu tajuk dalam kitabnya al-Azkar iaitu pada bab harus bagi seorang manusia untuk mendoakan perkara-perkara keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam.

Doa orang yang dizalimi yang tidak menunaikan kewajipan solat juga akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Namun, kita sebagai muslim perlu sentiasa menunaikan segala tuntutan Islam dan berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah S.W.T mahupun sesama manusia lain. Jika dosa sesama manusia tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala dan amalan soleh di akhirat nanti.

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulanginya lagi.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com