Solat merupakan salah satu rukun Islam yang penting, dianggap sebagai tiang Agama. Justeru, haram ditinggalkan dalam apa juga keadaan sekalipun, selagi mana akal masih waras. Oleh itu setiap orang muslim wajib melakukan solat secara sempurna dengan menepati hukum syarak dari segi rukun dan syaratnya. Namun masih ada kelonggaran-kelonggaran yang tertentu dari segi pelaksanaannya jika menghadapi keuzuran.

 

Sebagai contoh, seseorang yang tidak mampu solat secara berdiri ia dibolehkan solat secara duduk, jika tidak mampu untuk duduk ia boleh solat secara berbaring dan begitulah seterusnya. Sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Hussain yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang beliau mengidap penyakit buasir, lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

               صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ... الحديث

Maksud :“Hendaklah engkau bersolat secara berdiri, jika engkau tidak mampu hendaklah solat secara duduk …... hingga akhir hadis”. (H.R Bukhari)

 

            Berdasarkan kepada nas tersebut, jelas menunjukkan bahawa boleh solat duduk atas kerusi bagi mereka yang tidak mampu berdiri, kerana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis tersebut adalah umum dengan menyebut  قَاعِدًا (duduk), Baginda tidak menyuruh duduk atas lantai, hanya menyuruh duduk secara mutlak sama ada duduk atas lantai atau atas kerusi atau seumpamanya. Malah orang Arab juga menyebut duduk atas kerusi itu dengan perkataan قُعُود (duduk). Sebagaimana yang disebut dalam sunan Abi Daud dan an-Nasai riwayat daripada Abdu Khair berkata: aku telah melihat Ali r.a: أُتِيَ بِكُرْسِيٍّ فَقَعَدَ عَلَيْه (Didatangkan kepadanya kerusi lalu beliau duduk di atasnya) perkataan  (قَعَدَ) digunakan disini untuk duduk atas kerusi.

 

            Bagi seseorang yang bersolat secara duduk, termasuk duduk di atas kerusi tetapi rukun fi’li boleh dilakukan dengan sempurna hendaklah dilakukan mengikut keadaan asalnya.  Mana-mana rukun fi’li yang tidak boleh dilakukan dengan sempurna sahaja dibolehkan melakukan secara isyarat sambil duduk di atas kerusi. Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al-Taghabun ayat 16: “Bertaqwalah kamu kepada Allah setakat mana yang kamu mampu” dan dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu (2/822,823 & 826).

 

            Kesimpulannya: Harus bersolat secara duduk sama ada atas kerusi atau atas lantai bagi yang uzur, tetapi jika bersolat secara berjemaah, bagi yang duduk atas kerusi hendaklah berada di hujung saf sebelah kanan atau sebelah kiri dan seboleh-bolehnya berada di saf yang terakhir sekali supaya ia tidak mengganggu jemaah yang lain.

 

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com