Puasa Selepas Pertengahan Sya’ban

 

Soalan:

Apa hukum berpuasa sunat setelah masuk pertengahan bulan Sya’ban?

 

          Jawapan:

 

Soalan ini penting untuk dijawab kerana ada sebuah hadis menyatakan:

 

"Apabila telah masuk pertengahan Sya’ban, maka janganlah engkau berpuasa.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi).

 

Dalam menjawab soalan ini, ingin disebutkan bahawa ahli hadis berbeza pandangan tentang status hadis ini. Imam Ahmad melemahkannya dan menilainya sebagai hadith munkar (yang dinafikan datangnya dari Nabi s.a.w). Namun sebahagian ulama seperti Imam al-Tirmizi dan lain-lain mensahihkannya.

 

Bagi ulama yang menganggap hadith ini sahih, maka mereka berpendapat tidak harus hukumnya memulakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban, yakni bermula 16 Sya’ban dan seterusnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Syafie.

 

Dalam kitab Anwarul Masalik Syarh 'Umdat al-Salik Wa 'Uddat al-Nasik (h. 166) karya Syeikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi dinyatakan seperti berikut:

 

“….haram berpuasa (yakni sunat) pada hari selepas separuh bulan Sya’ban, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan (seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika dibincangkan tentang hari Syak dan (puasa tersebut) tidak bersambung dengan hari yang sebelumnya iaitu tidak bersambung puasa pada pertengahan yang kedua (bulan Sya’ban) dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan (dengan hari-hari separuh pertama Sya’ban), sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.”

 

Syeikh Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam Fath al-'Allam (4/152- 153) berkata:

 

“….haram puasa pada (selepas) pertengahan bulan Sya’ban kecuali jika ianya dihubungkan dengan hari yang sebelumnya, walaupun hanya satu hari (yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya’ban sahaja) dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.”

 

Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah (2/82) berkata:

 

“….daripadanya (hadith-hadith) puasa dalam bulan Sya’ban ialah hadith 'Aisyah r.a yang menyatakan:"Tidak aku melihat Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya’ban", hadith diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadith lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya’ban, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata iaitu "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya’ban keseluruhannya kecuali sedikit.”…kemudian hadith-hadith ini tidaklah menafikan hadith yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas separuh bulan Sya’ban, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas separuh tersebut dan tidak menghubungkan puasanya (dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban). Manakala keharusan berpuasa, bahkan sunat berpuasa ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum separuh Sya’ban lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya (di mana ia berpuasa sunat pada nisfu pertama bulan Sya’ban dan berhenti setelah nisfunya tersebut), atau ia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban, atau ia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari selepas separuh Sya’ban tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi kebiasaannya. Dan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Dawud, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya’ban, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadan", adalah jelas pada yang demikian.”

 

Difahamkan dari ungkapan-ungkapan di atas bahawa larangan ini tidak meliputi sesiapa yang telah berpuasa sejak awal bulan Sya’ban di mana ia meneruskannya hingga ke pertengahan bulan tersebut. Larangan hanya untuk orang yang baru memulakan puasa setelah berlalu pertengahan bulan Sya’ban. Larangan ini juga tidak meliputi puasa pada 15 Sya’ban. Berpuasa pada hari tersebut diharuskan sebab ia termasuk hari-hari putih yang sunat berpuasa padanya setiap bulan seperti kenyataannya dalam hadith berikut:

 

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawa ia berkata: “Nabi S.A.W telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara iaitu puasa tiga hari setiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan), dua rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur.” (Riwayat Bukhari)

 

Maka disimpulkan seperti yang ada dalam fatwa Jabatan Mufti Brunei bahawa dalam mazhab Syafie bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Sya'ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Pengharaman berpuasa itu tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian iaitu puasa qadha’, puasa kaffarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari di separuh pertama bulan Sya'ban.

 

Bagi ulama yang menganggap hadith ini lemah, tentu sahaja mereka tidak mengamalkan kandungannya. Bagi mereka, tidak ada larangan untuk berpuasa pada pertengahan Sya’ban sama ada ia telah memulainya sejak awal bulan ataupun tidak. Ini adalah pendapat sebahagian ulama termasuk Imam Ahmad, pengasas mazhab Hanbali.

 

Namun menurut Imam San`ani dalam kitabnya Subulus Salam (2/345), pendapat Imam Ahmad terhadap kelemahan hadith tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman iaitu salah seorang periwayat hadith ini yang dikatakan lemah oleh Imam Ahmad adalah seorang periwayat hadith yang diambil kira oleh Imam Muslim. Bahkan Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam kitab "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang periwayat yang saduq atau seorang yang benar atau dipercayai.

 

          Umat Islam di Malaysia biasanya memakai mazhab Syafie, maka eloklah dalam hal ini, pendapat mazhab Syafie dipakai.

HUBUNGI KAMI

Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

TEL: +609-6252525
FAX : +609-6235411
E-MAIL: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Go to top
JSN Boot template designed by JoomlaShine.com